Dari Jalan Ibrahim ke Stulang Laut(JB), Menyusuri Keindahan Johor Bahru Bersama Sahabat dari Utara Semenanjung – Negeri Perlis

Pada 8 Julai 2025, seorang sahabat saya dari negeri paling utara di Semenanjung Malaysia – Perlis – datang ke Johor Bahru atas urusan kerja. Sebagai tuan rumah dari selatan paling hujung Semenanjung, saya tidak lepaskan peluang untuk membawanya jalan-jalan melihat keindahan bandaraya Johor Bahru yang semakin moden dan menarik.
Pagi-pagi jam 7, saya jemput dia dan terus pandu kereta menuju pusat bandar melalui Jalan Ibrahim. Dari sini, kami dapat melihat dengan jelas Singapura di seberang tambak – satu pemandangan yang unik dan mengagumkan.
Kami melepasi R&F Mall, dan kagum melihat projek ikonik RTS (Rapid Transit System) yang hampir siap dibina – satu penghubung penting masa depan antara Johor Bahru dan Singapura. Kami singgah sebentar di Stulang Laut, ambil gambar berlatarbelakangkan jambatan tinggi RTS dan laut Selat Tebrau, sambil menikmati hembusan angin pagi.

Seterusnya, kami berpatah balik ke Jalan Wong Ah Fook, laluan utama yang kini semakin cantik dengan projek menaiktaraf Sungai Segget. Kami melalui bangunan bersejarah Broadway, City Square, Komtar JBCC, Holiday Inn, The Five Hotel, dan masuk ke Jalan Trus.
Di Jalan Trus, kami lihat Persada Johor International Convention Centre, Kuil Kuno Johor, kuil Sikh dan Hindu, serta pusat beli-belah Kotaraya.
Selepas itu, saya parkir kereta di permulaan Jalan Wong Ah Fook, bersebelahan Bank CIMB, dan kami mulakan jalan kaki dari hujung ke hujung jalan, kemudian belok kiri ke Jalan Trus, berjalan dari satu penghujung ke penghujung yang lain.
Kawan saya sangat teruja – katanya dia tak pernah berjalan sejauh ini di bandar, apatah lagi sambil berpeluh dan bergelak ketawa! Kami berbual tentang sejarah Johor, bangunan lama dan perubahan bandar ini dari dulu sampai sekarang.
Akhir sekali, kami singgah minum pagi di Kedai Kopi Hua Mui – sebuah kedai kopi yang terkenal dan pernah dikunjungi oleh pemimpin tertinggi negara. Roti bakar, telur separuh masak dan kopi klasik menjadi penutup sempurna kepada pagi yang penuh kenangan ini.

💡 Kenapa Perlu Cuba Jalan-Jalan Seperti Ini?
- Anda akan lihat Johor Bahru dengan cara berbeza – bukan hanya dari tingkap kereta
- Berjalan sambil bercerita lebih mengikat hubungan
- Anda akan jumpa spot-spot menarik yang sering terlepas pandang
- Sesuai untuk pengunjung dari seluruh Malaysia, termasuk dari Perlis mahupun Singapura
Kalau anda ada tetamu dari luar negeri, cubalah bawa mereka jalan kaki pusing pusat bandar Johor Bahru – pengalaman sederhana yang luar biasa!
🎥 Tonton Video Jalan-Jalan Kami!
Nak tengok sendiri suasana pagi Johor Bahru, pemandangan tepi Singapore, dan semangat kawan saya dari Perlis?Saya rakamkan detik-detik menarik dalam satu video khas untuk anda! Jangan lupa tonton dan kongsikan 😄👇


